3D Operation Machine

Assalamualaikum wbt a dobry den!


Pada suatu hari, semasa kami sedang berbulatan gembira,

"Tahu tak, tadi saya dapat tengok operation guna mesin 3D!!" kata Kak L dengan gembiranya.

"3D????" soal kami.

"Aah, hospital universiti kita baru sahaja beli alat bantu pembedahan 3D minggu lepas. Operation yang saya dapat lihat itu, operation yang kedua menggunakan mesin canggih itu!" tambah Kak L.

"Apa fungsi mesin tu? Dapat tolong apa?" tanya saya.

"Lagi mudah dan tepatlah doktor nak membedah pesakit. Dapat tengok tisu-tisu dan organ dengan lebih teliti. Sangat-sangat berguna bila nak menjahit tisu-tisu dan organ pesakit." terang Kak L lagi.

"Oohhhh....MasyaAllah canggihnya!" kata saya dengan penuh rasa kagum.

"Tapi kan, skrin untuk tontonan kami semua dalam bentuk 3D tu hanya boleh dilihat kalau pakai kaca mata yang khas saja. Kalau kita bukak kaca mata tu, hanya akan nampak kabur (baca: blur) sahaja skrin khas itu." tambah Kak L.

"Macam dunia ni kan?" C, Kak I dan Kak R mencelah.


*********

Dunia ini ibarat kotak dalam gambar di atas. Garisan itu ibarat hidup kita. Hidup kita tak terbatas dalam kotak dunia sahaja. Dunia itu kan hanya bersifat sementara sahaja.

Tapi di luar kotak tu, yakni Akhirat tidak ada batas penghujungnya. Malah Allah kata akhirat itulah yang kekal selamanya.

"Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui" 

(Surah Ar-Rum 30:64)

Kita selalu cenderung untuk lihat dunia ini sebagai sesuatu yang segala-galanya (baca: everything) dalam hidup kita. Kita selalu berfikir untuk kesenangan dan keselesaan diri kita sahaja di dunia ni.


Kenapa?


Sebab kita tak buka pandangan kita keluar daripada "kotak" dunia ni.


Samalah macam mesin 3D tu.


Bila kita tak pakai cermin mata khas tu, tak dapatlah kita nampak imej 3D organ-organ dan tisu-tisu yang hebat tu. Hanya ada imej yang kabur sahaja dan terpaksalah kita lihat skrin 2D yang biasa sahaja (macam video biasa kat TV). 


Cermin mata khas itu, saya suka untuk ibaratkan ia dengan Al-Quran dan sunnah.

Kalau kita tidak melihat kehidupan ini dengan kaca mata islam yakni melalui Al-Quran dan sunnah, maka kita akan sempitkan pandangan kita hanya kepada perspektif dunia sahaja.


Burung, kalau ia terbang rendah, maka sempitlah ruang pandangannya.
Sedikitlah sumber makanannya.
Susahlah ia hendak mengelak serangan-serangan pemangsa.

Tapi, kalau burung itu terbang tinggi, maka luaslah ruang pandangannya.
Jauhlah jarak penglihatannya.
Banyaklah sumber rezekinya.
Mudahlah ia dapat mengesan kedudukan pemangsa.


Macam dunia.


Kalau kita sempitkan pemikiran kita hanya untuk dunia,
maka ceteklah visi dan misi hidup kita.
Tak mampu kita nak bergerak jauh.
Hanya memikirkan bagaimana nak memenuhi keperluan yang sekejap cuma.


Dan rugilah kita bila tercicir mengejar kehidupan yang jauh lebih kekal.


MasyaAllah.....



Wallahu'alam...

Assalamualaikum a Na Shle! =)



Comments

Popular Posts