Rehabilitasi

Assalamualaikum a dobry den!

Alhamdulillah kredit pertama untuk semester musim sejuk ini telah selamat diperoleh.

Subjek ringkas, Rehabilitation Medicine. Namun, bagi saya ia tidak seringkas kreditnya.

Cabang perubatan ini, lebih menumpukan perhatian kepada usaha pemulihan pergerakan fizikal pesakit-pesakit stroke, trauma, pesakit yang dipotong kakinya kerana Diabetes Mellitus, dan banyak lagi.

Sebelum ini, saya tidak pernah lagi didedahkan dengan usaha pemulihan mereka. Kebanyakan masa saya banyak ditumpukan kepada penyakit utama itu sendiri.  Dan memang itulah bidang kerja saya di masa hadapan nanti insyaAllah.

Namun, subjek ini telah banyak membuka mata saya.

Klinika Rehabilitace ini bagi saya lebih banyak bermain dengan hati dan perasaan.

Melihat wajah-wajah pesakit yang gigih menjalani terapi, wajah-wajah physioterapist yang optimis dan sentiasa tersenyum memberikan semangat kepada mereka.

Sungguh, suasana yang begitu positif dan memberikan semangat!

Kami diberi tunjuk ajar tentang bagaimana hendak memakai kaki palsu. Bagaimana caranya pesakit berlatih berjalan apabila mula memakainya.

Dan bagi saya, ianya tidak mudah. Saya yang alhamdulillah cukup sifat ini pun sudah rasa begitu susah untuk berlatih berjalan seperti yang ditunjukkan, mengawal pergerakan kaki, dan mengimbangkan berat badan sesuai dengan kaki palsu itu.

Apatah lagi bagi pesakit-pesakit yang sudah memang kehilangan salah satu anggotanya. (atau kedua-dua belah)

Ada seorang pakcik yang kehilangan sebelah kakinya sehingga ke paha. Namun, dia masih sempat bergurau senda dengan kami sambil begitu bersemangat menunjukkan cara pemakaian kaki palsunya.

Ada pesakit yang kami difahamkan, masih gigih menjalani terapi memulihkan percakapan dan pergerakan tangannya selepas lumpuh sebelah (hemiparesis) akibat diserang stroke beberapa tahun yang lalu.

Ada pesakit yang tidak jemu-jemu berulang-alik ke jabatan ini selama setahun, demi memulihkan kembali pergerakannya.

Justeru, saya merasakan mereka ini manusia-manusia yang lebih hebat daripada orang yang cukup sifat!

Apalah sangat yang ada pada kita yang tiada cacat cela ini, sedangkan semangat kita jauh untuk dibandingkan dengan mereka.

Usahlah kita berlagak sempurna, kerana pada hakikatnya mereka ada sesuatu yang kita tidak ada.

dan baru sahaja saya terjumpa ayat ini dalam Al-Quran,

"(Allah) berfirman, 'Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika aku menyuruhmu?' Iblis menjawab, "Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia dari tanah." 
"(Allah) berfirman, 'Maka turunlah kamu darinya (syurga); kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya. Keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina." 
(Surah Al-A'raf 7:12-13)

Na'uzubillah, Allah kata syurga itu bukanlah tempat untuk orang-orang yang menyombongkan dirinya seperti iblis itu. 

dan lebih takut lagi, kalau jadi orang yang menyombongkan diri dengan Allah.

Allah...

Jauhkanlah kami daripada perasaan-perasaan sombong dan lupa diri ini.

Semoga kekuatan pesakit-pesakit tadi memberi rehabilitasi baru dalam kehidupan kita,
untuk menjadi HAMBA-NYA yang lebih bersyukur.

Allahu'alam


p/s: klinika rehabilitace = klinik pemulihan
      stroke = angin ahmar
      Diabetes Mellitus = kencing manis
      physiotherapist = ahli fisioterapi

Comments

Popular Posts